Isnin, 16 November 2009

NILAI PENGORBANAN

Mengimbas kembali salah satu daripada peristiwa besar dalam islam iaitu peristiwa isra’ dan mikraj Rasulullah SAW, sesungguhnya di sebalik peristiwa tersebut ada episod yang terlalu susah dan payah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW sebelum menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT iaitu pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama islam.

Sepertimana yang kita maklum dan yakini bahawa baginda Rasulullah SAW adalah salah seorang Rasul yang ulul azmi yang mewah dengan kesabaran, yang rimbun dengan ketabahan, yang pasrah pada himpitan hidup masyarakat jahiliyah demi agama islam yang tercinta.

Islam adalah agama yang syumul, yang sempurna, merangkumi semua aspek dan sudut sama ada kehidupan dunia mahupun akhirat. Perlu ditekankan bahawa agama islam terpancar disepenjuru dunia hasil daripada titisan pengorbanan yang besar dan halangan ranjau yang terlalu perit untuk ditempuh dan dihadapi.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah insan yang terlalu banyak menghadiahkan pengorbanan masa, pengorbanan usia, pengorbanan harta malah mengorbankan perasaan demi meninggikan syiar agama islam, agama yang hanya diredhai Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT didalam surah ali-Imran :19 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah adalah agama Islam”.

Tatkala Abu Jahal menerima tamparan hebat hasil daripada penerimaan masyarakat Makkah terhadap dakwah yang dibawa oleh seseorang yang terkenal dengan kejujuran dan keikhlasannya, maka dengan kemarahan yang bersangatan bergegas dia bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memujuk dan merayu agar beliau menghentikan dakwah tersebut namun jawapn yang diterimanya adalah sungguh mengecewakan, walaupun imbuhan dan pampasan yang ditawarkan kepada Rasulullah.

Walaupun bayaran dan sogokkan yang dijanjikan kepada Rasulullah adalah hampir seluruh kekayaan di Tanah Arab pada ketika itu namun ungkapan dan jawapan yang diterimanya dari Baginda Rasulullah tetap sama, dan sama sekali tidak akan berubah,

Walaupun dibebankan matahari di telapak kanan dan disandarkan bulan di telapak kiri membujur lalu melintang patah, agama islam tetap ditegakkan.
Baginda Rasulullah SAW korbankan nafsu insani demi kegemilngan agama islam. Baginda Rasulullah belakangkan tuntutan kejam nafsu dunia demi agama Islam. Baginda Rasulullah menoleh jauh dari menjamah harta dan kenikamatan dunia demi meletakkan agama islam di atas puncak persada yang paling tinggi dan suci. Bukan untuk bermegah-megah. Bukan dengan aroma riya’ walau sebesar zatpun, tetapi dengan heningan keikhlasan......Lillahi Ta’ala.

Pengorbanan nafsu bukannya perkara yang mudah untuk kita laksanakan apatah lagi keseronokan dan keunikan duniawi yang terhidang di hadapan mata kita terlalu menghairahkan, terlalu kuat mencekam nafsu dan tanpa iman yang benar-benar kukuh dan keyakinan terhadap Allah yang benar-benar ampuh, kita tidak akan mampu untuk melakukan sepertimana yang Baginda Rasulullah SAW lakukan. Semakin lama dakwah Nabi Muhammad SAW lakukan, maka semakin lama semakin hebat dan dahsyat penentangan kaumnya dan semakin berlimpah pengorbanan yang perlu dilakukan sehingga pada suatu ketika semasa baginda dalam sujudnya menghadap Allah SWT, belakang Baginda disimbah dengan najis unta malah Baginda Rasulullah diludah oleh Uqbah atas arahan Ubai Bin Khalaf kerana mereka semakin takut Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW akan menghancur leburkan kebohongan berhala Osiris, berhala Isis, berhala al-Latta dan Uzza tuhan kaku mereka. Malah peristiwa di Thaif amat menyakiti Baginda bukan hanya luka pada kakinya tetapi ajakannya ditolak, dakwahnya tidak diterima akhirnya menghalau Baginda Rasulullah seperti pengemis yang hina. Pengorbanan ini bukan sahaja menjadi ikutan para sahabat malah pancaran pengorbanan inilah yang menebar sinaran keseluruh pelusuk dunia yang sebelumnya diselubungi oleh kepekatan, oleh kekejaman, oleh kekufuran dan kejahilan manusia.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT bukan sekadar untuk menghimpunkan manusia di sekitar keharuman namanya tetapi adalah untuk menyambung hubungan manusia dengan kebenaran yang sekian lama terkubur oleh keangkuhan dan kejahilan
Marilah kita bersama-sama menjejaki apa yang telah digariskan oleh baginda junjungan dalam misi melaksanakan dakwah islamiah demi untuk mencari kecemerlangan agama islam yang lampau. Ingatlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan hari ini sama ada pengorbanan masa, pengorbanan harta dan usia akan kita temui ganjarannya di akhirat kelak. Perpecahan umat islam hari ini adalah disebabkan umat islam tidak berani untuk melakukan pengorbanan demi agama kerana tuntutan duniawi lebih bersinar, lebih menghairahkan didepan mata, kerana sikap tamak dan nafsu haloba telah menutup lapan lapis keimanan kita.

Marilah kita bersama-sama menjadikan sirah nabi sebagai wadah panduan untuk kita memantapkan lagi gerak dakwah kita demi agama islam yang tercinta, agama islam yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga hasil dari pengorbanan yang kita lakukan akan meletakkan martabat agama islam di aras yang paling mulia di dunia ini.

Sabtu, 14 November 2009

Berkasih sayang



Imam Hasan Al-Banna pernah berkata:

"Berkasih-sayanglah antara kamu sama lain, berusahalah ke arah ikatan sesama kamu. Ia adalah rahsia kekuatanmu, dan tunggak kejayaan kamu. Thabatlah(Bersatulah) kamu sehingga Allah membuka pintu hati antara kamu terhadap agama yang hak, sesungguhnya Allah Maha Pembuka."

Kunci untuk mencapai kebangkitan yang Haq adalah dengan berkasih-sayang antara kita saudara Islam mahupun bukan Islam.. tidak kita kita berbangsa apa sekalipun baik cina, india, myammar, bangla, melayu, indon atau apa2 sekali pun jgn kita memandang rendah kaum antara satu sama lain. tanggunjawab kita adalah untuk menyebarkan Islam kepada mereka yang belum mengetahui Islam dan bukannya terus melabel mereka dengan "kafir" , sedangkan mereka sendiri pun tak nampak apa kebaikan dalam Islam jika kita(Muslim) sendiri tidak mampu tunjukkan Islam yang sebenar.


Ingat Sabda Rasulullah saw:

"Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assobiyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar assobiyah, bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar-dasar assobiyah" (Hadis Riwayat Imam Muslim)

"Betapa aku cinta padamu"

Di saat menghitung dosa-dosa aku kepada Mu Tuhan
Aku tahu Kau sedang melihat hambaMu ini
yang terlupa asal usul kejadiannya
yang selalu hanyut dengan keasyikan dunia
hingga terabai segala amanah yang Kau berikan

Tuhan..
Betapa aku rindu menghadapMu
Tapi aku malu denganMu
Malu dengan lambakan dosa aku padaMu
Malu dengan sikapku yang meminta-minta padaMu
sedang diri sering ulangi kesilapan demi kesilapan
Tidaklah layak bagiku mendapat syurga disisiMu
Tapi berilah aku secebis CINTAMU kepada ku
agar luluh diriku bila kenangkan RahmatMU

Ya Tuhanku
siapalah aku untuk berada dimuka bumiMu ini
lantas menjejakkan kaki di atasnya
Kemana untukku berlari?lari dari pandanganMU
Sungguh tidak mampu aku lari dari sifatMu yang Maha Melihat

Tuhan..
alam ciptaanMu cantik sekali
Bukit yang kau dirikan
Langit yang kau apungkan
Laut yang Kau hamparkan
Siapalah aku untuk mencipta semua itu
Besar sungguh KUASA Mu ya Allah..
Lantas memikirkan kerdilnya aku dihadapanMu
Aku takut untuk ingkar kepadaMu Tuhan
Aku takut...

Ya Tuhanku
Aku ingin mati dalam Kasih SayangMu
Mati yang pasti berjumpa denganMu
untuk aku senyum dihadapanMu
Berjumpa dengan pencipta segala Pencipta
Rabbull alamin..

Biarlah air mata ini mengalir
Mengalir semata-mata mengenangkan GhafarMu
Agar bisa semangatku pulih semula
kerana
Harapanku PadaMu Subur Kembali..

Jumaat, 13 November 2009

Asas-asas akhlak mulia

Ketahuilah bahwa para Salaf menganggap budi pekerti yang baik itu laksana sebutir buah atau tujuan sesuatu perkara. Lihat apa yang dikatakan oleh al-Hasan rahimahullah iaitu: Budi perkerti yang baik itu adalah menunjukkan wajah yang manis, suka membelanjakan harta kekayaan dan mencegah hal-hal yang boleh menyakiti hati orang lain.

Pada lain peristiwa al-Hasan berkata lagi: Budi pekerti yang baik itu ialah mendapatkan keredhaan manusia pada masa kesenangan dan masa kesusahan.

Ada pengertian-pengertian yang lain lagi dalam hal ini, tetapi pokoknya sama: iaitu terasnya akhlak yang terpuji.

Adapun hakikat budi pekerti itu, ialah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan-perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan. Jika yang terbit dari perilaku itu, ialah perbuatan-perbuatan yang elok dan terpuji, menurut ukuran akal mahupun syara’, maka perilaku itu dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya jika yang terbit pula perbuatan-perbuatan yang jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu, dinamakan budi pekerti yang jahat.

Sebab kita katakan, bahwa perilaku itu meresap dalam jiwa, ialah kerana kalau terbit dari seseorang itu perbuatan mengorbankan harta bendanya secara tidak selalu, melainkan kerana timbulnya sesuatu keperluan yang mendadak saja, maka tidaklah boleh dinamakan orang itu bersifat murah hati, selagi sifat suka mengorbankan harta benda itu tidak tetap meresap dalam jiwanya.

Begitu pula, bila kita mensyaratkan, bahwa perbuatan-perbuatan itu mestilah terbit dari orang itu dengan jiwa yang tenang, tanpa pemikiran atau pertimbangan, kerana orang yang mencuba mengorbankan harta bendanya, ataupun orang yang mencuba mendiamkan diri ketika sedang marah dengan paksaan atau pertimbangan, tidak boleh dikatakan orang itu bersikap murah hati atau pun bersikap penyantun.

Adapun pokok akhlak yang mulia dan asasnya adalah empat:

(1) Hikmat atau kebijaksanaan

(2) Syaja’ah atau keberanian

(3) ‘Iffah atau kebersihan jiwa

(4) ‘Adl atau keadilan

Yang dimaksudkan dengan kebijaksanaan ialah suatu keadaan dalam diri yang mana menerusinya ia dapat membezakan yang benar dari yang salah dalam semua hal-ehwal ikhtiariah (perbuatan pilihan diri sendiri).

Yang dimaksudkan dengan keberanian, ialah bahwa keadaan marah yang sedang meluap-luap itu dapat dituntun oleh akal untuk terus memajukan keberanian itu ataupun menahannya dari berlaku.

Yang dimaksudkan dengan kebersihan jiwa, ialah menahan kemahuan syahwat dengan mendidiknya supaya tunduk kepada petunjuk akal dan syara’.

Yang dimaksudkan dengan keadilan, ialah suatu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan kemahuan syahwat, lalu membimbing keduanya ke arah kebijaksanaan, serta menetukan bila masanya boleh diikutkan, dan bila pula harus dikekang dari berlaku menurut hal dan keadaan yang dihadapinya.

Dengan menegakkan keempat-empat sifat yang tersebut di atas tadi, barulah dapat dilengkapi diri dengan semua akhlak dan budi pekerti yang indah.

Al-Quran al-Karim telah mengenalkan kepada kita semua akhlak dan budi pekerti yang mulia, mengenai sifat-sifat para Mu’minin dengan firmanNya:

“Hanyasanya orang-orang Mu’minin itu ialah mereka yang beriman dengan Allah dan RasuluNya, kemudian mereka tiada ragu-ragu lagi lalu berjuang dengan harta dan jiwa pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” (al-Hujurat: 15)

Beriman kepada Allah dan RasulNya tanpa keraguan dalam hati itulah yang dinamakan keyakinan kuat yang menjadi teras akal fikiran dan puncak kebijaksanaan. Berjuang dengan harta kekayaan ialah bersifat murah hati yang bakal memimpin untuk membatasi kekuatan syahwat. Manakala berjuang dengan jiwa pula, ialah bersifat berani yang bakal memimpin untuk menggunakan kemarahan yang meluap-luap itu menurut petunjuk akal dan batasan syara’.

Allah s.w.t telah mensifatkan para sahabat dengan berfirman dalam al-Quran:

“Mereka itu amat keras terhadap orang-orang kafir, tetapi belas kasihan antara sama sendiri.” (al-Fath: 29)

Ini jelas menunjukkan bahwa sifat kekerasan itu ada tempatnya yang tertentu, manakala sifat belas kasihan pula mempunyai tempatnya yang lain pula. Bukanlah kesempurnaan itu, ketika melakukan kekerasan pada setiap tempat dan keadaan. Demikian pula dengan melakukan belas kasihan pada semua tempat dan keadaan.

Magnet Cinta Allah

ISLAM adalah agama yang hakiki dan realiti, bukannya agama khayalan atau melawan arus fitrah insan. Oleh yang demikian, Islam tidak menafikan terdapat di sana perkara-perkara yang dikasihi, disukai dan dicintai oleh manusia kerana ia sememangnya merupakan kecenderungan dan fitrah setiap insan.

Maka seorang manusia itu akan mengasihi keluarga, harta dan tempat kediamannya. Namun, tidak sepatutnya terdapat sesuatu di dunia dan akhirat lebih dikasihi daripada kecintaan terhadap Allah dan Rasul.
Jika berlaku sedemikian, maka dia adalah orang yang kurang imannya dan wajib dia berusaha untuk menyempurnakan keimanannya. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah. (al- Baqarah: 165)

Dunia hari ini menyaksikan umat Islam tidak lagi menjulang cinta kepada Allah sebagai cinta yang utama, tidak lagi mahu bermujahadah mengejar cinta Khaliqnya. Sebaliknya, sentiasa bersemangat dan memperjuangkan cinta kepada dunia dan hamba-hamba dunia.

Saban waktu sang kekasih berusaha mengenali hati kekasihnya tetapi tidak pernah sesaat sang hamba berusaha mengenali Khaliq dan kekasihnya yang sepatutnya menjadi cinta awal dan akhirnya.

Menyebut cinta kepada Allah atau menyebut nama Allah terasa tawar dan hambar, tetapi menyebut cinta kepada manusia terasa sungguh bahagia dan menyeronokkan. Kenapa tragedi ini boleh berlaku, sedangkan Allah itu bersifat Maha Sempurna, manakala manusia bersifat dengan segala kekurangan.

Mencintai Allah tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati. Allah memiliki kemuncak segala kecantikan, keagungan dan kebaikan. Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.

Pendek kata, akal yang singkat turut mengatakan, Allah paling layak dicintai kerana Dia memiliki segala ciri-ciri yang diingini oleh seorang kekasih.

Perkara paling pantas untuk menarik seseorang mencintai Allah ialah dengan merenung kemuliaan dan kemurahan Allah yang sentiasa mencurahkan segala nikmat-Nya pada setiap masa dan ketika, pada setiap hembusan nafas dan degupan jantung.

Allah berfirman sebagai mengingatkan hamba-hambaNya dengan nikmat-nikmat ini: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nahl: 18).

Hanya dengan merenung sejenak, kita akan mendapati bahawa Allah adalah paling layak bagi setiap cinta dan pujian. Dia lebih utama untuk bertakhta di jiwa setiap insan daripada kecintaan kepada kedua ibu bapa, anak-anak dan diri sendiri yang berada di antara dua rongga.

Saban hari, kita memerlukan Allah untuk hidup dan menikmati segala kejadian-Nya; cahaya yang terang, nikmat siang dan malam dan sebagainya. Namun, kenapa masih tidak terkesan di hati kita menyaksikan limpahan nikmat dan ihsan-Nya, kekuasaan-Nya yang menghairankan orang-orang yang melihatnya, keagungan-Nya yang tidak mampu diungkapkan oleh orang-orang yang cuba mengungkapkannya, dan segala sifat keindahan dan kesempurnaan-Nya?

Punca bagi segala permasalahan ini ialah butanya mata hati, ceteknya tauhid dan pengetahuan manusia tentang Allah. Tidak mungkin seseorang itu mengasihi sesuatu jika dia tidak mengenalinya. Cinta hanya akan datang setelah didahului dengan pengenalan.

Pada hari ini, manusia lebih mengenali dunia daripada Pencipta dunia. Oleh kerana itu, hati mereka gersang dari cinta ilahi, cinta yang hakiki. Kejadian Tuhan terlalu dicintai tetapi Pemiliknya yang mutlak dilupai sehingga segala suruhan dan larangan-Nya tidak dipeduli.

Agama Tuhan hendak ditegakkan tetapi Tuhan Pemilik agama itu tidak dipasak di dalam hati. Tauhid tidak dihayati, maka bagaimana tuhan hendak dikenali, apatah lagi dicintai.

Kecintaan kepada Allah adalah suatu kedudukan yang istimewa. Allah mengangkat kedudukan hamba yang mencintai-Nya kepada setinggi-tinggi darjat. Bagi manusia yang mengutamakan kecintaan kepada selain Allah, Allah meletakkannya di kedudukan yang hina; menjadi hamba kepada dunia sepanjang hayatnya.

Tanda cinta kepada Allah

Ramai manusia yang mengaku mencintai Allah tetapi kebanyakan kata-kata mereka tidak melepasi kerongkong-kerongkong mereka. Cinta itu ada tandanya untuk dikenal pasti yang manakah cinta palsu dan yang manakah cinta yang hakiki.

Ketahuilah cinta itu seperti magnet yang akan menarik kekasih kepada kekasihnya. Orang yang mencintai seseorang akan suka bertemu dengan kekasihnya. Orang yang kasihkan Allah tidak merasa berat untuk bermusafir dari tanah airnya untuk tinggal bersama Kekasihnya menikmati nikmat pertemuan denganNya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya." Sebahagian salaf berkata: "Tidak ada suatu perkara yang lebih disukai Allah pada seseorang hamba selepas hamba tersebut suka untuk bertemu dengan-Nya daripada banyak sujud kepada-Nya, maka dia mendahulukan kesukaannya bertemu Allah dengan memperbanyakkan sujud kepada-Nya."

Sufyan al Thauri dan Bisyr al Hafi berkata: "Tidak membenci kematian melainkan orang yang ragu dengan tuhannya kerana kekasih itu pada setiap masa dan keadaan tidak membenci untuk bertemu dengan kekasihnya.

Allah SWT berfirman: Maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar. (al-Baqarah: 94)

Seseorang itu tidak suka kepada kematian kadang kala disebabkan kecintaannya kepada dunia, sedih untuk berpisah dari keluarga, harta dan anak-anaknya. Ini menafikan kesempurnaan kasihnya kepada Allah kerana kecintaan yang sempurna akan menenggelamkan seluruh hatinya.

Namun, ada kalanya seseorang itu tidak suka kepada kematian ketika berada pada permulaan makam Mahabbatullah. Dia bukan membenci kematian tetapi tidak mahu saat itu dipercepatkan sebelum dia benar-benar bersedia untuk bertemu dengan Kekasihnya. Maka dia akan berusaha keras bagi menyiapkan segala kelengkapan dan bekalan sebelum menjelangnya saat tersebut. Keadaan ini tidak menunjukkan kekurangan kecintaannya.

Orang yang mencintai Allah sentiasa mengutamakan apa yang disukai Allah daripada kesukaannya zahir dan batin. Maka dia akan sentiasa merindui amal yang akan mendekatkannya kepada Kekasihnya dan menjauhkan diri daripada mengikut nafsunya.

Orang yang mengikut nafsunya adalah orang yang menjadikan nafsu sebagai tawanan dan kekasihnya, sedangkan orang yang mencintai Allah meninggalkan kehendak diri dan nafsunya kerana kehendak Kekasihnya.

Bahkan, apabila kecintaan kepada Allah telah dominan dalam diri seseorang, dia tidak akan lagi merasa seronok dengan selain Kekasihnya. Sebagaimana diceritakan, bahawa setelah Zulaikha beriman dan menikahi Nabi Yusuf a.s, maka dia sering bersendirian dan bersunyi-sunyian beribadat serta tidak begitu tertarik dengan Yusuf a.s sebagaimana sebelumnya.

Apabila Yusuf AS bertanya, maka dia berkata: "Wahai Yusuf! Aku mencintai kamu sebelum aku mengenali-Nya. Tetapi setelah aku mengenali-Nya, tidak ada lagi kecintaan kepada selainNya, dan aku tidak mahu sebarang gantian". (Ihya' Ulumiddin, Imam al Ghazali Jilid 5 H: 225)

Kecintaan kepada Allah merupakan sebab Allah mencintainya. Apabila Allah telah mengasihinya, maka Allah akan melindunginya dan membantunya menghadapi musuh-musuhnya. Musuh manusia itu ialah nafsunya sendiri.

Maka Allah tidak akan mengecewakannya dan menyerahkannya kepada nafsu dan syahwatnya. Oleh yang demikian Allah berfirman: Dan Allah lebih mengetahui berkenaan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka). (al-Nisa': 45)

Orang yang mencintai Allah, lidahnya tidak pernah terlepas dari menyebut nama Kekasih-Nya dan Allah tidak pernah hilang dari hatinya. Tanda cinta kepada Allah, dia suka menyebut-Nya, suka membaca al Quran yang merupakan kalam-Nya, suka kepada Rasulullah SAW dan suka kepada apa yang dinisbahkan kepada-Nya.

Orang yang mencintai Allah kegembiraan dan keseronokannya bermunajat kepada Allah dan membaca Kitab-Nya. Dia melazimi solat tahajjud dan bersungguh-sungguh beribadah pada waktu malam yang sunyi dan tenang. Sesiapa yang merasakan tidur dan berbual-bual lebih lazat daripada bermunajat dengan Allah, bagaimanakah hendak dikatakan kecintaannya itu benar? Orang yang mencintai Allah tidak merasa tenang melainkan dengan Kekasihnya. Firman Allah: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al Ra'd: 28)

Orang yang mencintai Allah tidak merasa sedih jika kehilangan sesuatu dari dunia ini tetapi amat sedih jika hatinya tidak lagi memiliki cinta kepada Allah. Besar kesalahan baginya jika ada saat-saat yang berlalu tidak diisi dengan zikrullah dan ketaatan kepadaNya, apatah lagi jika melakukan larangan Allah.

Orang yang mencintai Allah juga, merasa nikmat dan tidak berasa berat melakukan ketaatan. Dia tidak merasa ketaatan yang dilakukan semata-mata kerana tunduk dengan perintah-Nya tetapi dilakukan kerana kecintaan terhadap Kekasihnya. Imam al Junaid r.a berkata: "Tanda orang yang cintakan Allah, sentiasa bersemangat dan cergas melakukan amal ibadah dan hatinya tidak pernah lalai dan letih daripada mengingatiNya."

Dia tidak pernah merasa sakit menghadapi cercaan orang-orang yang mencercanya kerana melaksanakan perintah Allah. Semua yang datang dari Kekasihnya sama ada suka atau duka diterima dengan hati yang gembira dan reda.

Orang yang telah mengenal dan mengecapi cinta Allah tidak akan tertarik dengan cinta yang lain. Itulah magnet cinta Allah. Alangkah ruginya orang yang hatinya tidak ingin mengenal cinta Allah, cinta yang hakiki dan sejati.

Madah Ukhwah.....


‘Sayangi sebuah perkenalan kerana di situ terciptanya kemesraan. Kenangi sebuah persahabatan kerana di situ tercipta kerinduan, hargai kedua-duanya kerana itulah rahmat dari Tuhan.’

Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata. Oleh itu apabila kamu berdoa janganlah kamu minta segunung emas permata tetapi mintalah dari tuhanmu sahabat yang soleh.

Kata2 imam al Ghazali 'Apabila kamu suka kepada seseorang itu, maka sukalah dengan berpada pada kerana mungkin pada suatu hari nanti kamu akan membencinya. Apabila kamu benci kepada seseorang itu, maka bencilah dgn berpada pada, kerana mungkin pada suatu hari nanti kamu akan menyukainya'

'sahabat itu dilihat dari agama ...' Setinggi-tinggi ukhuwwah ialah ithar (mengutamakan org lain dari kepntgn dirinya) , manakala serenda- rendah ukhuwwah ialah salamatus sodri (berbaik sangka)....

“Jika engkau ingin bersahabat dengan seseorang, buatlah dia marah. Maka, jika dia tetap berlaku adil kepadamu dalam kemarahannya, jadikanlah ia sahabatmu. Tetapi jika tidak demikian tinggalkanlah dia” Saidina Ali

Penulis buku Al Awaiq, Muhammad Ar Rasyid berkata, "Setiap orang akan bertindak dan memiliki sikap positif sekadar mana dia memahami erti persaudaraan. Ada yang memiliki ketinggian ukhuwwah dan ada yang gugur kerana rendahnya erti ukhuwwah dalam dirinya."

..sahabat-sahabat fahamilah erti ukhuwwah..ia bukan ungkapan kata pemanis bicara atau penghibur ayat madah berbunga..tapi maksudnya cukup dalam..,sehinggakan orang yang berukhuwwah kerana ALLAH dijanjikan-NYA mendapat lindungan di saat tiba hari yang tiada perlindungan melainkan lindungan Allah semata-mata..salam ukhuwwah fillah.

Rabu, 11 November 2009

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan

Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya.

Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika.

Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya.

Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?

Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini.

Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir.

Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.

Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):

“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).

Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel.

Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.

Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.

Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel.

Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?

Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)

Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.

Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.

Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Sumber: Dr. Maza (Minda Tajdid)

 

Copyrigth 2009 Minda Abu Samah By ckama33 Skin Design: Free Blogger Template