Khamis, 10 Disember 2009

PENCEMARAN CINTA

Perkataan cinta hari ini menjadi kotor kerana kita menggunakannya dengan cara salah. Cinta sudah dimurahkan dan dipermudah melalui budaya luar yang melanda masyarakat kita yang terbit dari bisikan hawa nafsu. Cinta yang asalnya murni, kini kerap kali dikait dengan cara mendapatkan kepuasan jasad. Jangan kecundangkan cinta murni suci dengan hawa nafsu. Ramai anak muda hari ini memperalatkan nafsu atas nama cinta. Tujuannya hanya untuk mengambil kesempatan. Habis madu, sepah dibuang. Mangsanya ialah anak-anak gadis yang jujur dalam mencari ‘cinta sejati’. Berhati-hatilah, kerana takrif cinta bagi lelaki ada kalanya bersalut nafsu, sementara takrif cinta wanita bagi wanita pula ialah keinginan untuk dicintai dan mendapatkan perlindungan. Pasti kedua takrif ini selamanya akan disalah ertikan. Justeru, tidak hairan hari ini ramai menjadi mangsa cinta plastik. Akibatnya ialah penyesalan yang terpaksa ditanggung oleh diri sendiri, ibu bapa dan keluarga selama-lamanya.

Cinta yang dibina berasaskan panduan Syariat boleh memelihara kemuliaan diri wanita dan menyelamatkan lelaki dari menjelma menjadi haiwan pemangsa yang rakus. Cinta yang dibina atas kecantikan, akan hilang bila kecantikan itu luntur. Cinta yang dibina atas asas ketampanan dan kekayaan akan melayang apabila ketampanan dan kekayaan itu lebur. Cinta yang berkekalan ialah yang dibina di atas asas-asas yang kekal. Yang kekal itu maknawi, bukan fizikal. Cinta yang berkekalan di bina di atas nilai agama dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri agama dan akhlak perlu dijadikan keutamaan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Pilihlah yang mempunyai akhlak dan agama, kamu akan berbahagia.” Lihatlah pada mereka yang sudah berumah tangga berpuluh tahun, bagaimana mereka saling cinta dan mencintai antara satu dengan lain. Cinta yang murni itu indah. Ia membawa kepada cinta Allah yang hakiki. Cinta Allah itu adalah kemuncak segala keindahan rasa yang pernah di kecapi oleh manusia. Alangkah indahnya jika umat ini balik ke pangkal jalan, setelah sesat dalam cinta palsu yang tiada kesudahan.

Rata-rata manusia telah melupakan aspek cinta dalam hubungan dia dengan Allah SWT termasuk bagi mereka yang menunaikan solat. Hablum Minannas dan Hablum Minallah adalah konsep yang berakar umbi dari perkara cinta. Perhubungan apakah yang paling rapat sesama manusia, jika tidak melalui perhubungan cinta? Dari cinta lahirnya kasih sayang. Kasih sayang itu adalah hasil dalam menterjemahkan perasaan cinta. Kerana cinta Allah maka dia sayang dan sentiasa memberi kita rezeki walaupun tanpa diminta. Belas kasihan itu datangnya dari perasaan cinta. Kenikmatan cinta tidak boleh di beli dengan wang ringgit.

Kita mudah sangat jatuh cinta pada dunia yang bergemerlapan ini. Kita tidak dilarang untuk menimba dan menikmati kebaikan dari dunia ini. Ia adalah suatu tanggungjawab kita di bumi Allah ini. Yang salah ialah apabila kita terlalu cinta pada dunia sehingga melupakan sumber kebahagiaan yang hakiki itu. Tanggung jawab kita adalah untuk menghidupkan agama-Nya supaya kehidupan kita itu makmur.

Memang tidak dinafikan, kadang-kadang ada kesulitan dalam memahami cinta Allah sebab ia tinggi. Pasti seseorang pernah rindukan Mekah, merindui Rasulullah, merindui ibu bapa, guru, ulama yang soleh dan lain-lain yang seumpama itu bukan? Maka, kategori cinta yang seperti inilah yang menjadi anak tangga pertama menuju cinta Allah. Tidak akan ada cinta Kaabah, melainkan sebenarnya kita menyintai Pemilik Kaabah. Tidak kita cintakan Rasulullah, melainkan sebenarnya kita cintakan Allah SWT. Begitulah analogi seterusnya dalam memahami cara menuju cinta Allah SWT. Justeru, jalan menuju peningkatan cinta antara yang terpenting ialah melalui solat hamba kepada Penciptanya.

Kerana kita cinta maka kita harus membina tamadun yang berjaya. Dan tamadun ini mestilah berasaskan ajaran Islam yang diajarkan kepada kita oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada larangan untuk kita berjaya dan tidak ada sekatan untuk kita nikmati kejayaan kita itu. Hanya kita dilarang dari berhenti mencintai Yang Maha Esa, demi kebaikan kita juga. Justeru, ada baiknya kita memulakan langkah untuk mencari cinta Allah ini melalui solat. Semoga kita berjaya meraih cinta Allah SWT suatu hari nanti, sebagaimana inti sari yang terkandung di dalam doa Rasulullah s.a.w., “Ya Allah, kurniakanlah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai dari air sejuk bagi orang yang kehausan.” Wallahu A’lam.

0 ulasan:

 

Copyrigth 2009 Minda Abu Samah By ckama33 Skin Design: Free Blogger Template